top of page
Writer's pictureAwful Track Record

In My Mind - Faye Faire (Album Review)




MAY CONTAIN: FOLK / FOLK ROCK / ALTERNATIVE ROCK / TWEE / INDIE RELEASE DATE: 15 FEBRUARY 2024 How do you explain what honesty is in art? Adakah ia seperti yang diungkap seorang hakim Supreme Court US bernama Potter Stewart? Semasa dia diberi tanggungjawab untuk menghuraikan maksud “obscenity” atau “kelucahan” dalam media, dia berkata “I know it when I see it”.


Tak perlu bagi formula jelas. Kalau dia rasa sesuatu itu lucah, lucah lah jadinya. Kejujuran juga begitu. Ia juga boleh bergantung kepada konteks. Semasa pembikinan In My Mind, I-Shan Esther, salah seorang penggubah, pemuzik dan penyanyi utama Faye Faire, meninggal pada usia 18 tahun.


Setiap kali aku teringat akan I-Shan - setiap lagu dalam album menjadi lebih sepi, setiap nyanyiannya menjadi sayu. Kadang-kadang, Ia mengukuhkan ironi puitis In My Mind dengan contoh lagu I’m Still Alive yang menjadi penutup. Itu suara arwah yang menyanyi “I’m Still Alive”.  Realiti itu rumit, tapi tidak perlu diasingkan dari pengalaman mendengar album ni. Aku beritahu semua ini sebab aku nak berterus terang tentang konteks yang mempengaruhi penilaian. Dan konteks itu tidak perlu diasingkan untuk aku menulis tentangnya sebab kalau aku tidak endahkan perasaan aku sebenar, aku telah mengasingkan jiwa kemanusiaan dari penilaian seni. Sesiapa nak baca senarai semak berpiawai dan bersyarat yang menentukan album ni sebagai sebuah pengalaman berbaloi, jangan baca tulisan ini.


Ini juga tidak bermaksud album ini sempurna atau aku tiada apa-apa kritikan untuk disampaikan. In My Mind hanyalah sebuah permulaan bagi Faye Faire yang masih, bagi aku, mencari keutuhan identiti muzik sendiri.

Tragedi merupakan roh utama In My Mind. Malah lagu-lagu positifnya juga berbaur melankolia. Jikalau keadaan berlainan dari yang sebenar pun, arahan In My Mind menuju ke paksi twee-realis yang mengingatkan aku ke Lucksmiths, Voxtrot, God Help the Girl dan juga sudah tentunya inspirasi kurang twee seperti Phoebe Bridgers atau mana-mana ahli boygenius termasuk Julien Baker dan Lucy Dacus. Kekuatan album ini adalah pada detik-detik lo-finya. Faye Faire paling berjaya apabila ia bercerita dan bernyanyi atas produksi warm dan tidak terlalu licin. Lagu “No Name #1misalnya, diisi lengkap dengan produksi nya yang sedikit serak. Kualiti bunyi pada bahagian kedua lagu ini mengingatkan aku kepada lagu-lagu romantis Jesus and the Mary Chain, The Velvet Underground ataupun Mac DeMarco. Kalau melodi kecil piano comel tak cukup, saxophone pula menambah lagi nilai sentimen, diiringi bunyi-bunyi tawa kecil di hujung lagu sebagai perasa langkap. “No Name #1” memang sah lagu kegemaran aku dalam In My Mind, dan ia merupakan sebuah kayu ukur potensi Faye Faire. Tidak lupa juga penulisan senikata yang cemas dan anxious, “I’m peeling off my skin cause I can’t breathe again”. Sentiasa sedar akan kefanaan hidup. Single-single Faye Faire pula biasanya lebih ‘besar’ dan ‘pop’, contoh lagu-lagu “Ultraviolet” dan “Siren”. Lagu-lagu ini adalah yang paling tertib dalam mengikut syarat-syarat folk rock.


Dalam “Ultraviolet”, gitar power pop diiringi lirik-lirik dinyanyi dengan vokal ramai yang sangat twee dan manis. Senikatanya yang menggambarkan sebuah cinta pandangan pertama menyumbang kepada unsur “twee” lagu ini.



“Siren” pula menceritakan cinta. Ia romantis berbaur defeatist dan desperate - ramuan-ramuan penting untuk lagu cinta yang sempurna. Cara nyanyian “I want to see her again” berselingan dengan bass-line tu adalah salah satu daripada momen-momen kecil yang sangat berkesan untuk aku dari In My Mind. Single-single Faye Faire pula biasanya lebih ‘besar’ dan ‘pop’, contoh lagu-lagu “Ultraviolet” dan “Siren”. Lagu-lagu ini adalah yang paling tertib dalam mengikut syarat-syarat folk rock.


Dalam “Ultraviolet”, gitar power pop diiringi lirik-lirik dinyanyi dengan vokal ramai yang sangat twee dan manis. Senikatanya yang menggambarkan sebuah cinta pandangan pertama menyumbang kepada unsur “twee” lagu ini.

“Siren” pula menceritakan cinta. Ia romantis berbaur defeatist dan desperate - ramuan-ramuan penting untuk lagu cinta yang sempurna. Cara nyanyian “I want to see her again” berselingan dengan bass-line tu adalah salah satu daripada momen-momen kecil yang sangat berkesan untuk aku dari In My Mind


Album ini juga menjelajahi satu suasana yang aku namakan ‘existential-existential kecil’ seperti “You Know Me”, antara lagu paling minimal Siren yang ditemani bunyi rintik-rintik hujan. Gambaran dalam kepala aku adalah seorang pari-pari kecil sedang berteduh di bawah daun sambil merenung tentang nasib dan matlamat kewujudan. Aku suka penghuraian emosi yang agak mendalam dalam penulisan lagu ini. “If god is real would he love me? If you told me the truth would I cry softly”. Classic proverbial knife to the heart. Runut yang sangat ringkas tapi menawan dalam keringkasannya. “Bahagian penutup lagu ni pun seperti sebuah cahaya menembusi awan yang tebal, risalah dari Langit, dengan vokal harmony bergema seperti koir yang bersambung ke lagu seterusnya . Heavenly. Ulangan “Don’t you know me” ingatkan aku pada satu scene filem Before Sunrise yang menampilkan seorang pemuisi jalanan. Ada juga emosi yang lebih berat dan abstrak, seperti lagu “A Home in the Sea”. Interaksi rekorder , gitar dan violin dalam lagu ini seperti sebuah perbualan mistik. Dah lama tak rasa potensi emosi daripada tiupan rekorder. “A Home in the Sea” bermula dengan dramatis, didahului deklamasi puisi seperti pembuka tirai sebuah pementasan teater yang apokaliptik (“I choked on smoke, as I saw no more”) dan revolusioner. “You see, what you believe” adalah sebuat bait yang sangat menyayat terutamanya dengan konteks. Alena Nadia, penyanyi, penulis dan pemain gitar, menceritakan bahawa “A Home in the Sea” adalah tentang penindasan terhadap Orang Asli di Malaysia, khususnya dari aspek keagamaan, kebudayaan dan juga tempat tinggal mereka, musnah dimamah pembangunan. Salah satu daripada karya terunggul Faye Faire setakat ini.



“Wild #2” menggoyangkan momentum In My Mind sedikit. Walaupun aku suka akan produksi yang lo-fi, yang berdepankan ukulele dan suara-suara halus, ia tak menyampaikan apa-apa istimewa dari segi senikata ataupun muzik. Agak pelik sebab lagu ini, berdasarkan maklumat dalam album fizikal, adalah satu-satu kolaborasi gubahan ternyata antara Alena Nadia dan I-Shan Esther. Ada momen-momen manis yang menekankan jiwa DIY mereka, seperti kesilapan ukulele dan gelak-gelak yang dikekalkan dalam proses rakaman. “Wailing Wall” pula lagu yang paling lemah dalam In My Mind. Produksinya terlalu bersih dan mengutamakan vokal sehingga dram bunyi nipis seperti lagu Michelle Branch yang tak berjiwa. Kalau lagu ini sedikit comot mungkin personalitinya lebih terserlah. Sekarang ni ia hanya lagu folk rock mendatar. Harmoni vokal beramai pun tak dapat selamatkan “Wailing Wall”. “Telephone” juga ada kekurangan yang sama cuma melodinya lebih menarik jika hendak dibandingkan dengan “Wailing Wall”. Sebagai single “Telephone” tidak lah menarik perhatian sangat, tetapi jadi lebih bagus dalam konteks keseluruhan album. Hampir ke pengakhiran album In My Mind, Faye Faire cuba melaksanakan Bohemian Rhapsody/I Know the End nya sendiri dengan lagu “Our Girl (Smile Because You Loved Her)”, tetapi hasilnya kurang memuaskan. Bahagian pertama lagu ini menarik.Gabungan nyanyian slightly off-beat dan ingatkan aku pada Cocteau Twins. Baris “You only love your girl, two seconds too late, three seconds too late” adalah sebuahan ekspresi cemerlang dan dahsyat dalam melankolia-nya. Selain daripada itu lagu ini rasa seperti disulam oleh mesin jahit rosak - kain-kain yang dicantum tanpa perhatian terhadap kesinambungan. Bunyi saxophone di hujung lagu pun tak boleh selamatkan lagu ini. Durasi 7 minitnya tidak membantu.



Penutup In My Mind, “I’m Still Alive,” menikam hati dalam konteks kematian I-Shan Esther. Ia sebuah lagu yang memujuk dan meratapi pemergian seorang sahabat. Dari segi muziknya ia menyambung apa-apa tema yang didapati dalam lagu Siren. Vibe sama. Cuma kesedihan lebih ketara. Balik kepada persoalan honesty. Dari segi jiwa, Faye Faire berani dalam menciptakan seni yang bermakna bagi diri mereka sendiri. Ini bukan satu tanggungjawab yang mudah, terutamanya apabila ia disertai trauma. Secara dasarnya, In My Mind memberi penghormatan yang baik pada kenyataan yang pahit. Projek seperti ini boleh sahaja terbengkalai akibat ketidakselesaan atau kegelisahan mempamerkan seorang rakan karya rapat yang sudah pergi. Keberanian untuk meneruskan sahaja bukan lah sesuatu yang remeh. Mungkin dalam kejujuran, pelaksanaan konsep ia tergagap-gagap.



Faye Faire menunjukkan potensi mereka apabila mereka membina naratif yang kukuh dan dunia konsep yang menarik seperti A Home in the Sea. Faye Faire juga paling berkarisma apabila mereka mengamati bunyi-bunyi lofi dan sedikit comot. Hanya dengan mencari keseimbangan antara element itu boleh aku nampak dunia yang dipaparkan dalam seni muka album mereka - sebuah dunia pari-pari melankolia diselubungi awan-awan lofi. Dari segi ikhlas hati boleh nampak yang Faye Faire sangat semangat dalam menunjukkan pengaruh mereka. Tetapi dari segi identiti bunyi, perjalanan itu masih panjang lagi. Susah aku nak senaraikan kenapa album ini “jujur”, tapi bak kata Potter Stewart, “I know it when I see (re:hear) it”.



56 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page